Skip to main content

Kebangkitan rakyat Mesir: Saat sekutu Israel dijatuhkan Allah



Suka saya berkongsi tulisan dari Tn. Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dari sumber di sini.

Mesir dikenali bukan kerana piramidnya. Ini kerana binaan yang menakjubkan bukan sahaja wujud di Mesir, tetapi juga di Indonesia dengan Candi Borobudur, di China dengan Tembok Besar, Patung Zues di Olimpia, Greek dan banyak lagi binaan-binaan lain di seluruh dunia. Bukanlah kemuliaan dan kehebatan Mesir di kehebatan binaan piramidnya yang lebih merupakan lambing kezaliman penguasa terdahulu terhadap rakyatnya di zaman tersebut.

Sesungguhnya kehebatan Mesir ialah kerana Universiti al-Azhar yang diasaskan pada tahun 970M. Itulah hebatnya Mesir. Bumi anbiya’ yang dipilih Allah SWT untuk menjadi tuan rumah kepada universiti tertua di dunia ini telah melahirkan generasi ulama terbilang yang bertebaran menyebarkan ilmu ke serata dunia. Atas kemuliaan ini, pemimpin Mesir sewajarnya terdiri daripada mereka yang mempunyai komitmen dengan Islam.

Sayangnya, Mesir hari ini ditadbir oleh rejim diktator yang sedikitpun tidak mencerminkan kemuliaan Universiti al-Azhar. Lihatlah bagaimana Syed Qutb telah dibunuh dengan kejam hanya kerana menulis kitab Maalim fit Tariq dan tafsir Fil Zilal al-Quran. Sekalipun dibunuh atas tuduhan memberontak, beliau tetap dipuji oleh ulama-ulama terkemudian seperti Syeikh Mutawalli Sya’rawi dan Dr. Zaghloul Najjar. Kedua-dua ulama ini setiap kali menyebut nama Syed Qutb pasti akan diikuti dengan rahimahullah rahmatan wasiatan (semoga Allah merahmatinya dengan rahmat yang luas).

Kezaliman rejim Hosni Mubarak di Mesir terbukti dengan kemenangan besarnya yang dicemari dengan penyelewengan besar-besaran setiap kali diadakan pilihanraya. Kemenangannya yang mencapai 99% merupakan hasil demokrasi tempang dan cacat. Di dalam masa yang sama, rejim inilah yang menangkap ribuan pimpinan Ikhwanul Muslimin bagi menghalang mereka bertanding di dalam pilihanraya. Jika benar Hosni Mubarak menang besar di dalam pilihanraya dengan sokongan rakyat, dari mana datangnya penunjuk perasaan yang berjumlah ratusan ribu pada hari ini?

Rejim inilah juga yang menghulurkan tangan persahabatan dengan Israel pada saat Israel dikutuk di seluruh dunia kerana menzalimi rakyat Palestin. Mereka menidakkan fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa al-Azhar pada 18 Jamadil Awwal 1375H bersamaan 2 Januari 1956M yang mengharamkan sebarang bentuk kerjasama dengan negara haram Israel. Di antara mereka yang bersidang pada hari itu ialah Syaikh Isa Manun, Dekan Fakulti Syariah dari Mazhab Syafi'i, Syaikh Mahmoud Shaltout, dari Mazhab Hanafi, Sheikh Mohamed Thaneikhi, Pengarah Badan Dakwah dan Bimbingan Keagamaan, dari mazhab Maliki, Syaikh Muhammad Abdul Lathif As-Subki, Pengarah Penyelidikan Universiti Al-Azhar dari mazhab Hanbali dan Syaikh Zakaria Al-Birri, Bahagian Jawatankuasa Fatwa.

Sesungguhnya tangan Hosni Mubarak ialah tangan berlumuran dengan darah rakyat Palestin. Kekuasaannya tegak di atas susunan tulang tulang para ulama yang dikorbankan demi untuk memenuhi tuntutan hawa nafsunya. Hari ini, tindakan paling tidak demokratik telah dilaksanakan dengan menutup semua akses internet dan talian telefon semata-mata untuk membendung kebangkitan rakyat.

Dalam hal ini, saya menyetujui pandangan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi supaya Hosni Mubarak meletakkan jawatan dan akur dengan kehendak rakyat Mesir demi kebaikan rakyat Mesir dan umat Islam keseluruhannya. Semoga Allah SWT akan menaikkan penguasa yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat dan Islam khususnya membela nasih umat Islam di tanah yang bersempadan dengan Mesir iaitu Palestin. Padanlah kalau pihak yang kecut perut sekarang ini dengan perkembangan yang berlaku ialah Israel.

Sekian, wasalam.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat,

Menteri Besar Kelantan merangkap al-Mursyidul Am PAS.

Bertarikh : 27 Safar 1432H bersamaan 1 Februari 2011M

Comments

Popular posts from this blog

Kembali

Hidup bermain dengan waktu. Sengaja melepaskan waktu yang lapang sehingga leka dengan angan yang tak menentu. Bila detik semakin sempit, barulah tersedar waktu yang tinggal hanya sedikit!!

Perjalanan

Menyiapkan sebuah tesis PhD bukanlah sesuatu yang mustahil. Ianya memerlukan ketekunan yang tinggi selain setiap jalur ilmu ditulis secara rinci. Terkadang saya hanya mampu menjeling penulisan yang masih terbengkalai. Leka dengan tuntutan kerja yang tiada kaitan dan masa yang telah dipersiakan. Ya, hidup ini tak renggang dengan sikap yang ingin terus berharap. Berharap agar masih mempunyai waktu-waktu untuk menyempurnakan penulisan yang masih berbaki!

Abah Wafat

Hari ini genap 6 hari abah pergi meninggalkan alam fana ke alam baqa'. Pergi abah bersama tangisan alam pada pagi Jumaat. Pergi abah dalam keadaan cukup menyenangkan. Pergi abah dalam redha kami sekeluarga. Pergi abah buat kami cemburu. Meninggal dunia di hari yang baik. Di hujung usia bersama isteri. Pergi abah meninggalkan bekas di hati anak-anak. Abah hanya orang biasa. Pesara. Namun di hujung usia abah diuji dengan ujian kesihatan. Seusai umrah, kesihatan abah merosot. Darah tinggi , kencing manis asbab badan abah jadi lemah. Abah terbaring tak bermaya di atas katil. Sebermula PKP sampailah hujung hayat. Hanya katil tempat abah. Mak banyak mengurus, tanpa banyak merungut. Anak-anak bantu berselang mana yang kurang dan patut.  Semasa awal bulan, doktor sahkan Abah sedang nazak, strok satu badan. Abah dipasang tiub untuk terima susu. Kurang seminggu di hospital Abah dibenar pulang. Waktu Abah di rumah, mak dan anak-anak berselang menjaga. Abah stabil namun hanya respons melalui n...