Skip to main content

Abah Wafat


Hari ini genap 6 hari abah pergi meninggalkan alam fana ke alam baqa'. Pergi abah bersama tangisan alam pada pagi Jumaat. Pergi abah dalam keadaan cukup menyenangkan. Pergi abah dalam redha kami sekeluarga. Pergi abah buat kami cemburu. Meninggal dunia di hari yang baik. Di hujung usia bersama isteri. Pergi abah meninggalkan bekas di hati anak-anak.

Abah hanya orang biasa. Pesara. Namun di hujung usia abah diuji dengan ujian kesihatan. Seusai umrah, kesihatan abah merosot. Darah tinggi , kencing manis asbab badan abah jadi lemah. Abah terbaring tak bermaya di atas katil. Sebermula PKP sampailah hujung hayat. Hanya katil tempat abah. Mak banyak mengurus, tanpa banyak merungut. Anak-anak bantu berselang mana yang kurang dan patut. 

Semasa awal bulan, doktor sahkan Abah sedang nazak, strok satu badan. Abah dipasang tiub untuk terima susu. Kurang seminggu di hospital Abah dibenar pulang. Waktu Abah di rumah, mak dan anak-anak berselang menjaga. Abah stabil namun hanya respons melalui nafas. Allah panjangkan umur Abah. Untuk nafas terakhir di rumah.

Pagi Jumaat, usai majlis bacaan Yassin di pejabat, terima panggilan Mak dari kampung. Mak menangis. Abah sudah tiada. Anak-anak semua di luar kawasan. Mengatur perjalanan rentas negeri balik untuk berjumpa abah buat kali terakhir.

Sampai di rumah, Abah sudah dimandi dan dikapan. Muka Abah bersih. Bercahaya. Allah jemput Abah dalam keadaan yang paling diidamkan semua makhluk. Kami cium abah buat kali terakhir. Bertuah Abah! Semasa solat jenazah, jemaah datang pun ramai. Moga Allah ampunkan semua dosa Abah.

Semasa Abah di hospital, pernah terlintas, Abah tunggu hari Jumaat agaknya, Allah makbulkan. Seminggu sebelum abah pergi, Mak suruh tidur sebelah Abah. Terlelap. Dalam mimpi Abah boleh berjalan. Terus tersentak dari tidur. Allah. Esoknya terus tidur tak lena. Rupanya Abah nak pergi meninggalkan kami.

Mak cerita. Pagi Jumaat 3 kali Mak baca surah Ar Ra'adu. Semasa lalu ke dapur, Mak cakap Abah ada lagi. Bila Mak lalu balik, Abah dah tiada. 

Allah bagi rehat selamanya.

Mungkin Allah nak tunjuk cara Dia jemput Abah. Abah orang biasa, namun dijemput luarbiasa.

Masa hidup Abah banyak berkorban untuk mak, ayah dan keluarga. Abah jaga orang tuanya, bina rumah belakang rumah kami di kampung. Abah juga jaga mak mertuanya (Atok) kami, tinggal sekali.

Abah tak pernah merungut menjaga kedua belah ibu bapa sampai hujung hayat. Kami anak-anak jadi saksi. Semoga kami juga dapat menjaga kedua belah ibu bapa kami. Berbakti tanpa berkira-kira.

Malam Jumaat ini, kami masih ingat pada Abah. Dan kami harap Allah jemput kami juga dalam Husnul Khotimah. Semoga Abah berbahagia dalam taman syurga. Kami akan terus merindui Abah..tunggu kami ya..





Comments

Popular posts from this blog

Kembali

Hidup bermain dengan waktu. Sengaja melepaskan waktu yang lapang sehingga leka dengan angan yang tak menentu. Bila detik semakin sempit, barulah tersedar waktu yang tinggal hanya sedikit!!

Perjalanan

Menyiapkan sebuah tesis PhD bukanlah sesuatu yang mustahil. Ianya memerlukan ketekunan yang tinggi selain setiap jalur ilmu ditulis secara rinci. Terkadang saya hanya mampu menjeling penulisan yang masih terbengkalai. Leka dengan tuntutan kerja yang tiada kaitan dan masa yang telah dipersiakan. Ya, hidup ini tak renggang dengan sikap yang ingin terus berharap. Berharap agar masih mempunyai waktu-waktu untuk menyempurnakan penulisan yang masih berbaki!