Skip to main content

Bukan goyang kaki!

Demam Pilihanraya ke 13, jadi entri ini berbau politik..

                                                                          image source

Sehari dua lagi, rakyat Malaysia akan mengundi. Memilih tampuk pentadbiran bagi lima tahun mendatang. Ya, dalam acuan demokrasi, yang membenarkan rakyat membuat pilihan.

Usai solat Jumaat tadi, biasanya diselit di depan wiper kereta risalah tentang pilihanraya. Kali ini dalam sampul coklat saiz A4, dah tentu kandungannya kita sendiri boleh nilai, yang membuat kita semakin menyampah dengan pihak yang mengedarkannya, agak-agaknya telinga tidak mendengar doa yang dibacakan khatib selepas khutbah yang mana ada menyebutkan agar dijauhkan dari segala fitnah memfitnah ...

Saya cukup sensitif dengan pilihanraya kali ini. Ini kali ke-3 saya akan menunaikan hak untuk memilih pemimpin. Saya lihat, semakin lama semakin tidak sihat kempen bagi pihak yang satu ini. Semua risalah yang diedarkan tentang memburuk-burukkan calon dari Pakatan Rakyat. Ulama dihina, kisah peribadi dijaja, yang kita faham semuanya dari sumber yang kabur dan suratkhabar yang dikuasai oleh pihak mereka sendiri.

Kebebasan media tidak menghalang maklumat sampai kepada rakyat. Tapi biarlah dengan fakta, bukan auta yang mana standardnya boleh diragui. Saya pelik bagaimana golongan seperti ini masih berkempen dengan cara hasutan sedangkan dalam musim pilihanraya ini, rakyat ingin menilai manifesto atau agenda yang akan dibawa apabila membentuk kerajaan kelak bukannya fitnah dan berita yang tidak berasas!

Yang banyak terpampang di billboard dan ditayangkan di televisyen, radio dan yang seputar dengannya hanyalah mesej agar rakyat berterima kasih dengan pihak yang memegang tampuk pentadbiran kerajaan sebelum ini, tema-tema janji ditepati (ini pun kena fikir dua kali) selain lagu-lagu yang menyesakkan. Mungkin orang Malaysia dianggap suka akan nyanyian-nyanyian sehingga dalam kempen pilihanraya pun ada macam-macam lagu. Saya pun ada menerima mesej agar kita berterima kasih pada yang berbudi (tersirat politik) yang cukup sinonim agar mendapat undi simpati.

Islam mengajar kita bersyukur. Syukur adalah tanda terima kasih kita pada yang memberi nikmat. Yang layak menerimanya adalah Allah dan hanya Allah layak menyuruh manusia berterima kasih pada-Nya. Manusia hanya menjalankan amanah dan tanggungjawab yang diberi. Bukan menagih terima kasih selepas membuat budi. Ibarat menuntut agar adanya timbal balik. You tolong I, I tolong you!..yang nyata sebenarnya kelihatan apabila membuat kerja mengharapkan imbalannya.

Berterima kasih tidak seharusnya menjadi pra syarat apabila calon yang bertanding itu dilihat korup dan tidak mempunyai kredibiliti dan wibawa sebagai pemimpin. Hanya kerana pernah menabur budi menyebabkan kita seakan terikat untuk membuat pilihan.

Dalam demokrasi, biarlah bertanding dengan adil, saat berkempen buatlah dengan cara berhemah. Tumpuan perlu diberikan kepada manifesto bukannya cerita peribadi, kerana agenda yang dibawa yang akan dilihat dan dinilai oleh rakyat yang mampu berfikir! Di dalam Al-Qur'an pun sentiasa menyebutkan golongan yang mampu berfikir, memilih yang hak dan menolak yang batil, bukannya hanya menerima tanpa menilai dari segenap sisi.

Dan demi sesungguhnya! Kami telah berulang-ulang kali menyebarkan hujah-hujah di antara manusia melalui Al-Quran supaya mereka berfikir (mengenalku serta bersyukur); dalam pada itu kebanyakan manusia tidak mahu melainkan berlaku kufur. (Al-Furqaan:50)

Saya berharap rakyat Malaysia dapat membuat pilihan pada 5 Mei ini berdasarkan fikiran dan bukannya paksaan! Tugas memberi peringatan adalah tanggungjawab semua bukan hanya duduk goyang kaki dan memerhati apa yang berlaku!


nota kaki: saya memang tidak membenarkan risalah fitnah berada di rumah saya. Jika sampai di pintu atau post-box akan terus dibawa ke mesin shredder untuk dirincihkan. Bimbang-bimbang kita menjadi agen dan dipersoalkan di akhirat kelak. نعوذ بالله من ذلك

Comments

Popular posts from this blog

Kembali

Hidup bermain dengan waktu. Sengaja melepaskan waktu yang lapang sehingga leka dengan angan yang tak menentu. Bila detik semakin sempit, barulah tersedar waktu yang tinggal hanya sedikit!!

Perjalanan

Menyiapkan sebuah tesis PhD bukanlah sesuatu yang mustahil. Ianya memerlukan ketekunan yang tinggi selain setiap jalur ilmu ditulis secara rinci. Terkadang saya hanya mampu menjeling penulisan yang masih terbengkalai. Leka dengan tuntutan kerja yang tiada kaitan dan masa yang telah dipersiakan. Ya, hidup ini tak renggang dengan sikap yang ingin terus berharap. Berharap agar masih mempunyai waktu-waktu untuk menyempurnakan penulisan yang masih berbaki!

Abah Wafat

Hari ini genap 6 hari abah pergi meninggalkan alam fana ke alam baqa'. Pergi abah bersama tangisan alam pada pagi Jumaat. Pergi abah dalam keadaan cukup menyenangkan. Pergi abah dalam redha kami sekeluarga. Pergi abah buat kami cemburu. Meninggal dunia di hari yang baik. Di hujung usia bersama isteri. Pergi abah meninggalkan bekas di hati anak-anak. Abah hanya orang biasa. Pesara. Namun di hujung usia abah diuji dengan ujian kesihatan. Seusai umrah, kesihatan abah merosot. Darah tinggi , kencing manis asbab badan abah jadi lemah. Abah terbaring tak bermaya di atas katil. Sebermula PKP sampailah hujung hayat. Hanya katil tempat abah. Mak banyak mengurus, tanpa banyak merungut. Anak-anak bantu berselang mana yang kurang dan patut.  Semasa awal bulan, doktor sahkan Abah sedang nazak, strok satu badan. Abah dipasang tiub untuk terima susu. Kurang seminggu di hospital Abah dibenar pulang. Waktu Abah di rumah, mak dan anak-anak berselang menjaga. Abah stabil namun hanya respons melalui n...