
Di UiTM, saya diamanahkan untuk mengajar subjek Global Economic Geography di mana subjek ini mencakupi sejarah, ekonomi, geografi dan isu semasa dalam satu pakej. Salah satu bab yang saya harus hadamkan kepada pelajar-pelajar saya adalah rantau Afrika Utara.
Afrika Utara dibahagikan kepada dua rantau terbesar iaitu negara-negara utara afrika dan negara-negara di lembah Nil. Sungai Nil secara dominannya mengalir di Mesir dan Sudan. Sebagai tambahan, sungai Nil sebenarnya terbahagi kepada dua cabang iaitu Nil Putih dan Nil Biru (kombinasi yang menjadikan sungai terpanjang di dunia meninggalkan Amazon di Brazil)
Bagi yang mengikuti perkembangan politik antarabangsa, saat-saat ini bermula semalam, rakyat Sudan di bahagian selatan akan mengundi sama ada untuk kekal bersama Sudan Utara di dalam negara Sudan, atau memilih untuk menjadi negara merdeka, atau mungkin menjadi sebuah negara berwilayah autonomi seperti Acheh di Indonesia.
Pergolakan yang berlaku di antara Sudan Utara dan Sudan Selatan telah berlaku berdekad lamanya. Sudan Utara majoritinya dihuni oleh Arab-Muslim manakala bahagian selatan dikuasai oleh bangsa Kristian-kulit Hitam Afrika yang lebih dikenali sebagai Sub-Saharan. Puak di bahagian selatan banyak menuduh bahawa pembangunan tidak seimbang berlaku dan hanya berlaku di sebelah utara di mana pembangunan hanya tertumpu di bandar Khartoum (ibu negara) dan sekitarnya.
Banyak faktor dan perjanjian telah berlaku yang mana sebahagiannya untuk menjadi jalan tengah bagi mengelakkan konflik ini berterusan. Ketidakpuashatian menyebabkan krisis dan perang saudara sering terjadi. Ini tidak termasuk konflik kemanusian yang kronik yang berlaku di wilayah Darfur, Sudan Barat. Rumitnya krisis ini sehingga jika berlakunya pembahagian (mungkin perpecahan) antara Sudan Utara dan Sudan Selatan, wilayah di bahagian Tengah Sudan iaitu Abyei pula menjadi rebutan bagi menentukan sama ada wilayah yang kaya dengan minyak itu (Sudan negara ke-3 pengeluar minyak di Afrika), selain hasil bumi dari segi ternakan (dengan padang rumput yang luas) menjadi milik salah satu dari mereka.
Referendum ini hanya dapat diketahui keputusan seawal 31 Januari 2011 dan mungkin secara rasmi pada 15 Februari 2011 menurut sumber di sini. Ironinya, Presiden Obama juga mengambil kesempatan terhadap pelawaan jika sesuatu yang positif berlaku di Sudan.
Jika anda ingin mendapatkan gambaran mengenai situasi di atas, mungkin boleh diimbas kembali bagaimana proses pungutan suara Sabah & Sarawak dijalankan sama ada bergabung dengan Malaysia atau memilih Indonesia atau Filipina (kes yang lebih kurang sama) sekitar tahun 1963 yang lalu!
Comments